|
UMNO tidak boleh kompromi -- Bukti amat kukuh mengenai kerendahan moral AnwarTANGGAL 2 September 1998, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil keputusan sukar melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta kedudukannya dalam kerajaan. Semua orang tersentak dan tidak mempercayai apa yang berlaku, berikutan itu esoknya bekas Timbalan Presiden UMNO itu dipecat daripada parti kerana dikaitkan dengan isu kerendahan moral. Sehingga hari ini, sana sini orang masih mempersoalkan isu penyingkiran Anwar. Ada yang percaya dan ada yang terus terang mempersoalkannya. Mengapa perkara ini boleh berbangkit dan mengapa ramai yang tidak percaya? Jawapan saya cukup mudah - ia terserah kepada soal bagaimana individu itu melihat ke dalam masalah ini. (Komen MR- memang bukti tiada)Secara peribadi, saya sendiri 'membaca' kenyataan Presiden Umno bahawa Anwar dipecat kerana melakukan perbuatan-perbuatan tidak bermoral yang tidak layak dilakukan oleh pemimpin negara sebagai satu isu yang amat subjektif. Pada saya, setiap rakyat bebas membuat tanggapan masing-masing mengenai kedudukan bekas Timbalan Presiden UMNO itu. Mereka bebas bercakap atau berhujah berasaskan kepada kenyataan penafian terhadap perilaku bekas Menteri Kewangan itu, dakwaan wujudnya konspirasi politik tertinggi untuk menjatuhkannya ataupun gerakan reformasi yang dilancarkannya. Bagaimanapun bagi UMNO, bukti kukuh mengenai kerendahan moral Anwar, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Presiden UMNO baru-baru ini, tidak boleh dikompromi langsung.Secara peribadi saya melihat bahawa keputusan-keputusan telah dibuat adalah mengikut peraturan dan perlembagaan hak serta kuasa yang telah diberikan oleh ahli-ahli UMNO sebagai mandat kepada pemimpin-pemimpin parti khususnya Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Memang saya tidak nafikan bahawa tugas untuk menjelaskan kepada semua rakyat mengenai beberapa perkara yang telah dibangkitkan terutama mengenai perbuatan-perbuatan tidak bermoral yang dilakukan oleh Anwar sebenarnya bukannya satu tugas yang mudah. Tetapi perlu dijelaskan bahawa saya menyokong keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan dan pendirian yang saya ambil ini bukan semata-mata berdasarkan kepada pandangan peribadi sahaja. Seperti beberapa rakan seperjuangan yang lain, sebenarnya saya juga rapat dengan Anwar malah saya mengenali kawan-kawan yang berada dalam kumpulan beliau. Kerana itu saya tidak ragu-ragu dalam soal menyatakan kepercayaan kepada tindakan pucuk pimpinan memecat Anwar dalam parti dan juga kerajaan dan saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan serta tindakan saya. Saya tidak mahu mengatakan isu ini betul atau salah tetapi tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri dan pucuk pimpinan parti sebenarnya adalah tepat dan benar. Kalau ditanya apa yang mendorong saya konsisten dengan pendirian saya ini, jawapannya memang banyak. Ada antara faktor itu menyentuh isu peribadi, apa yang pernah saya dengar, tindakan Anwar sendiri, aksi-aksi penyokongnya dan kepentingan parti serta negara. Setelah semua faktor itu saya kaji dengan teliti dan hati-hati maka hasilnya lahirlah keputusan yang saya nyatakan di atas tadi. Sebagai seorang pemimpin, saya perlu membuat keputusan dan dalam saat seperti ini, saya perlu menyatakan keputusan saya secara terbuka. Saya tidak boleh berdolak-dalik dalam membuat keputusan. Dalam membuat keputusan ini, saya mempunyai sebab tersendiri kerana saya melihat semua perkara ini dari pelbagai sudut dan apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti adalah suatu keputusan tepat. Tetapi soalnya sekarang bagaimanakah permasalahan atau kekalutan ini dapat saya perjelaskan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang memang berkemungkinan besar tidak dapat mengakses kepada segala maklumat yang ada dalam pengetahuan saya. Persoalan yang bakal timbul memang banyak, pertama, proses untuk memberi penerangan kepada orang ramai ini sudah tentunya mengambil masa dan masyarakat memerlukan waktu untuk memahami kedudukan perkara sebenar. Kedua, melalui proses undang-undang seperti yang telah dinyatakan oleh Dr. Mahathir Khamis lalu. Proses ketiga ialah melalui proses politik. Sekiranya masyarakat masih tidak mempercayai dengan apa yang telah berlaku, mereka boleh 'mengadilinya' di bawah sistem demokrasi negara. Dan keempat, langkah terakhir bagi mendapatkan jawapannya daripada Allah s.w.t. sendiri. Caranya, semua mereka tahu. Sebab itulah, Dr. Mahathir sendiri telah meminta semua ahli UMNO mengadakan sembahyang sunat hajat bagi menunjukkan kebenaran tindakan kerajaan memecat Anwar daripada kabinet dan parti. Di sini amat jelas sekali bahawa apa yang ingin diperkatakan ini amat sulit dan ia menuntut waktu. Permintaan sembahyang hajat oleh Perdana Menteri bukan untuk menentukan sama ada beliau akan menang atau Anwar kalah, tetapi supaya kebenaran akhirnya menjadi kenyataan. Jadi pada pandangan saya, inilah antara faktor-faktor yang dapat saya jelaskan kepada masyarakat tetapi saya tahu ia mengambil masa yang lama untuk meyakinkan masyarakat keseluruhannya. Apa yang penting sekarang ialah kita harus melihat bahawa perkara ini telah berlaku dan kita harus bertenang, bersabar dan masyarakat juga harus yakin kepada proses yang sedia ada iaitu mahkamah. Cuma saya berharap, dalam proses mencari kebenaran ini jangan sampai ada sesiapa yang mengambil tindakan drastik atau tindakan yang melulu yang boleh membuat kita menyesal di kemudian hari. Suka saya menarik perhatian bahawa sebelum dipecat, Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno jadi bukan mudah bagi saya menerima keputusan beliau boleh dipecat dengan begitu mudah. Sekarang ini mungkin ada antara kita telah pun mengetahui kebenarannya, terutama apabila kita mendapat maklumat- maklumat yang bercanggah yang bukan sahaja yang telah dibuat oleh Anwar sendiri, tetapi juga tindakan para penyokongnya termasuklah isu mengapa Anwar enggan meletakkan jawatannya. Mungkin ramai orang telah mendengar dan telah membuat keputusan mereka berdasarkan pandangan dan keutamaan masing-masing dan saya sendiri membuat pendirian di atas beberapa priority yang saya rasakan amat penting. Pendirian yang saya ambil bukan satu tindakan yang mudah dan bukan sesuatu yang menggembirakan. Saya sedih atas apa yang telah berlaku tetapi saya yakin dalam hati kecil saya bahawa saya telah membuat tindakan yang wajar. Saya tahu Perdana Menteri juga telah mengambil tindakan yang wajar untuk bangsa, agama dan negara tambahan pula dalam keputusan drastik ke atas seseorang yang diasuhnya dengan penuh kasih sayang selama 16 tahun lalu. Saya minta semua orang bersabar. Saya tahu banyak persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat sejak kebelakangan ini misalnya soal pemecatan beliau daripada keahlian UMNO, jawatan kerajaan dan sebagainya. Keputusan itu telah dibuat sebulat suara oleh kesemua ahli MT termasuk mereka yang telah mengenalinya selama bertahun-tahun lalu. Kita perlu ingat bahawa ada alasan yang kukuh mengapa keputusan itu telah diambil. MT sudah tentunya mengambil keputusan itu berdasarkan bukti-bukti kukuh yang mereka ada selepas Anwar diberi peluang untuk membela dirinya pada malam 3 September lalu.
|